pagi tadi sebelum aku dihantar bapa pergi sekolah, mama selit teguran tentang cara aku berpakaian. jangan pakai yang ketat mengikut bentuk tubuh mama kata, sebab nanti bapa yang disoal di hari akhirat kenapa aku tidak sempurna dalam berpakaian.
memang aku tidak sempurna dalam berpakaian, jujur aku akui serendah rendah hati. tudung singkat alakadar menutup apa yang perlu ditutup. baju kadang lebar dan besar, kadang setakat muat dan kadang terlihat lemak belipat. stokin kaki tidak pernah pakai jari kaki telanjang tiada berlapik. sarung tangan apatah lagi. terbuka terselak kadang tidak terkisahkan pun.
bukan aku tiada perasaan nampak wanita seangkatan aku tertutup aurat dengan sempurna. aku pun masih ada rasa bertuhan dan cukup kasih untuk bapa biar tidak terlalu lama dihisab. kalau kira berapa kali skrol ig cari stokin sokha, sarung lengan bergaya, jubah jubah semua..tidak terkira agaknya berapa kali berniat tanpa terlaksana. tapi yang nyata, aku pun ada rasa mahu jadi sebaik baik wanita..
dan aku harap, bila semua jadi keras pada aku yang belum terlihat mahu berubah, biarlah aku bersangka baik dan berlembut pada diri sendiri yang masih melangkah bayi untuk mendekat pada sempurna. biar walapun sedikit, aku tidak mahu penat meraikan sekecil kecil baiknya perubahan pada diri aku.
terima kasih mama dan bapa. jauh manapun aku dari jangkau baiknya seorang wanita, tidak pernah terkurangkan kasih sayang dan doa penuh kebaikan dari mereka untuk aku. percayalah pada setiapnya yang menyentuh hati, semua aku ambil kira dan simpan kemas dalam kepala biar aku ini terlembut hati jadi wanita baik yang tertutup pada setiapnya walaupun masih jauh dan terlalu perlahan ke arah sempurna.
semoga nanti, beberapa masa kehadapan bila aku baca lagi apa yang tercatat pagi ini, aku sudah jauh lebih baik dari hari ini.
01/3/2016
8.26am